Jumat, 04 Desember 2009

CAHAYA AL-GHADIR (1)

Hari Aidul Ghadir 

Salam dan selawat buat Baginda Rasul Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasallam serta Ahlul Baytnya yang suci serta tahniah kita ucapkan buat mereka Maasumin as. atas Hari Perlantikan Imamah dan Wilayahnya Imam bagi segala Imam, Amirul Mukminin Ali Ibni Abi Tolib Alaihissalam. Tahniah juga buat kaum Muslimin pada hari ini kerana telah sempurna agama dan hujjat buat kita semua.

Pada tahun kesepuluh Hijrah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasallam telah pergi ke Makkah bagi menunaikan fardhu Haji. Haji pada kali ini merupakan haji yang terakhir bagi Rasul, maka oleh sebab itu ia dinamakan sebagai Hujjatul Wida’ . Para haji yang telah bersama Rasulullah bilangan mereka mencapai sehingga sebanyak seratus dua puluh ribu orang.

Ibadah haji telah tamat dan Rasulullah pun memulakan perjalanan untuk pulang ke Madinah, berduyun-duyun manusia datang untuk mengucapkan selamat tinggal dan selain daripada penduduk-penduduk Makkah semuanya bersama Rasulullah meneruskan perjalanan pulang ke negeri masing-masing. Apabila mereka telah sampai di satu tempat bernama Ghadir Khum, hampir 5km daripada Juhfah, Jibrail Al-Amin telah turun membawa wahyu kepada Rasul untuk berhenti di tempat tersebut. Rasulullah pun mengarahkan semua ummat Islam untuk berhenti di situ.

Para rombongan hairan dengan arahan untuk berhenti dengan tiba-tiba tersebut yang mana dari segi zahir ia tidak sesuai pada tempat dan masanya, tempat yang tidak memiliki air dan pada waktu tengah hari dengan cuaca yang panas terik. Mereka bercakap sesama sendiri : Pasti telah turun perintah yang penting daripada Tuhan dan kepentingan perintah yang dipertanggungjawabkan ke atas Rasulullah (dapat difahami) cukup dengan larangan Baginda meneruskan perjalanan pada keadaan yang tidak sesuai begini untuk menyampaikan wahyu Tuhan.

Perintah Allah ini berhubung kait dengan ayat :

يا ايها الرسول بلغ ما انزل اليك من ربك و ان لم تفعل فما بلغت رسالته و الله يعصمك من الناس

Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.

Cahaya matahari tengah hari 18 Zulhijjah di Ghadir Khum terik memancar dan rombongan besar yang mana sejarah telah mencatatkan bilangan mereka adalah daripada 70 ribu sehingga 120 ribu orang telah berhenti disitu atas perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih dan menunggu apakah yang bakal dicatat oleh sejarah pada hari itu. Disebabkan panas yang sangat terik mereka telah membahagikan pakaian mereka kepada dua bahagian, satu untuk diletakkan di atas kepala dan yang lainnya diletakkan di bawah kaki. Dalam detik-detik penting tersebut, terdengar suara azan berkumandang mengajak manusia untuk solat. Mereka pun bersiap-siap untuk bersembahyang dan Rasulullah pun mengimami solat jemaah di Ghadir kemudian Rasulullah naik ke atas mimbar yang telah didirikan di tengah ummat manusia dan dengan suara yang lantang berkhutbah. Diantara sabda Baginda adalah seperti berikut: 

Segala puji hanya bagi Allah. DaripadaNya kita memohon pertolongan, kepadaNya kita beriman dan bertawakal serta kita berlindung daripada kejelekan hawa nafsu dan amalan buruk yang mana tidak ada Hadi dan penunjuk bagi orang yang sesat selain Dia; Tuhan yang mana jika sesiapa yang Dia beri hidayah maka tidak akan ada lagi yang dapat menyesatkannya. Aku bersaksi bahawa Tidak ada Tuhan selainNya dan Muhammad hamba dan RasulNya.

Wahai manusia, telah hampir waktu untuk aku mengucapkan selamat tinggal kepada dakwah yang hak (benar) dan meninggalkan kalian. Aku mempunyai tanggungjawab dan kalian juga mempunyai tanggungjawab. Apakah yang kalian fikirkan mengenai diriku?

Kami bersaksi bahawa kamu telah menyampaikan agama Tuhan, menginginkan kebaikan serta menasihati kami dan telah berusaha di jalan ini, maka Allah Subhanahu Wa Taala akan memberikan ganjaran yang baik kepadamu.

Rasulullah meneruskan khutbahnya setelah menenangkan keadaan sekeliling :

Adakah kalian bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan rasulNya? Syurga dan neraka adalah hak, hari kiamat tanpa syak pasti akan berlaku dan Tuhan akan menghidupkan kembali mereka-mereka yang telah terkubur didalam tanah?

Sahabat-sahabat Rasul menjawab : Ya, ya kami bersaksi.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih meneruskan :

Aku akan meninggalkan kepada kalian dua benda berharga, bagaimanakah perlakuan kamu dengan mereka? Seorang telah bertanya : Apakah dua benda berharga tersebut?

Baginda Sallallahu Alaihi Wa Aalih bersabda : Benda berharga akbar adalah kitab Tuhan (Quran) yang mana satu bahagiannya di tangan Tuhan dan bahagian yang lainnya di tangan kalian. Genggamlah ia dengan erat supaya kamu tidak sesat. Dan benda berharga asghar adalah Itrah Ahlul Baitku. Allah Subhanahu Wa Taala telah memberitakanku bahawa dua tinggalanku ini tidak akan berpisah antara satu sama lain sehingga hari kiamat.

Wahai manusia, janganlah berpaling daripada Kitab Allah dan Itrahku dan jangan ketinggalan daripada mereka supaya kamu tidak binasa.

Ketika itu, Baginda Sallallahu Alaihi Wa Aalih mengambil tangan Ali Alaihissalam dan mengangkat tangannya sehinggakan cahaya putih dibawah ketiak Rasul kelihatan kepada semua. Mereka melihat Imam Ali Alaihissalam disisi Rasul serta turut mengenalinya dan kini mereka telah memahami tujuan daripada pengumpulan ini pasti adalah mengenai sesuatu yang berkenaan dengan Ali Alaihissalam, mereka semua menanti untuk mendengar sabda Rasul (saaw) seterusnya. 

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih bersabda :

Siapakah yang lebih Aula dan didahulukan keatas orang Islam daripada mereka sendiri? 
Sahabat Rasul menjawab : Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih bersabda :

Allah Subhanahu Wa Taala adalah maulaku, aku adalah maula para mukmin dan aku lebih aula dan didahulukan ke atas mereka dari diri mereka sendiri.

Kemudian bersabda :

من كنت مولاه فهذا على مولاه 

Wahai manusia, barangsiapa Aku adalah maulanya, maka Ali adalah maulanya.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih mengulang kata-kata terakhir ini sebanyak tiga kali kemudian bersabda :

(Daripada riwayat Ahmad Bin Hanbal didalam musnadnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih mengulang kata-kata tersebut sebanyak empat kali.)

Ya Allah, cintailah mereka yang mencintai Ali, musuhilah mereka yang memusuhi Ali. Ya Allah, bantulah penolong Ali dan hinakanlah musuh-musuhnya. Tuhanku, jadikan Ali bersama hak (kebenaran).
Kemudian bersabda Sallallahu Alaihi Wa Aalih :

Hendaklah yang hadir menyampaikannya pada yang tidak hadir dan saling memberitakan kepada orang lain berkenaan perintah ini.

Kemudian Malaikat wahyu turun dan menyampaikan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih bahawa Allah Subhanahu Wa Taala hari ini telah menyempurnakan agamaNya dan telah mencukupkan nikmatnya ke atas seluruh mukmin.

اليوم اكملت لكم دينكم و اتممت عليكم نعمتى و رضيت لكم الاسلام ديناً) سوره مائده ، آيه 3)

Ketika itu, telah terdengar takbir yang dilaungkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih dan bersabda : 
Aku bersyukur ke Hadrat Ilahi bahawa Dia telah menyempurnakan agamaNya dan mencukupkan nikmatNya serta telah ridha akan risalahku dan wilayah Ali selepasku..

Rasulullah turun daripada tempatnya dan sahabat-sahabat Baginda, datang berduyun-duyun mengucapkan tanhiah kepada Amirul Mukminin Ali Alaihissalam dan menggelarkannya sebagai maula setiap lelaki dan wanita mukmin. 

Ghadir dikenali sebagai hari pembakar semangat, hari wilayah, hari imamah, hari wishayah, hari ukhuwah, hari peningkatan, keberanian, pelindungan, keridhaan. Hari nikmat, hari kesyukuran, hari menyampaikan, hari mengucapkan tahniah dan syabas, hari kegembiraan, kebahagiaan, memberi hadiah, hari perjanjian dan memperbaharuinya, hari penyempurna agama dan penyampaian hak, hari pemusnahan syaitan, hari yang mengenalkan jalan serta rahbar (pemimpin), hari ujian, hari putus asa musuh dan harapan pencinta dan ringkasan hari Islam, Quran dan Itrah, satu hari yang dimuliakan oleh pengikut sebenar agama Islam dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain.

Allah Subhanahu Wa Taala memberikan pahala dan ganjaran beberapa kali ganda pada hari ini berbanding hari-hari raya yang lain yang mana kita tidak akan dapat melihat ganjaran sebegini selain daripada hari tersebut. Berbuat baik pada hari ini memurahkan rezeki dan memanjangkan umur. Menyayangi antara satu sama lain menyebabkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Pada hari ini, berikanlah harta yang telah dikurniakan Tuhan kepadamu kepada sanak saudara setakat yang kamu mampu dengan senyuman diwajah. Bergembiralah apabila dapat membantu orang lain dan bersyukurlah ke atas segala nikmat yang diberikan Allah. Berbuat baiklah kepada sesiapa yang memerlukan bantuan darimu dari segi pakaian dan makanan, samakan dirimu seperti orang yang berada dibawahmu. Amalkanlah persamaan ini setakat yang kamu mampu yang mana pahala satu dirham pada hari ini umpama seratus ribu dirham dan barakahnya pula adalah disisi Tuhan.

Berpuasa pada hari ini telah disunatkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan mempunyai pahala berlipat kali ganda. Jika sesiapa pada hari ini, menyempurnakan keperluan saudaranya – sebelum diminta – dan dengan niat yang baik, pahalanya seperti dia telah berpuasa pada hari ini dan pada malamnya beribadah sehingga terbit fajar. Selain itu, barangsiapa pada hari ini memberi makan (berbuka puasa) kepada orang yang berpuasa umpama dia telah memberi makan kumpulan-kumpulan manusia.

Ghadir Didalam Quran

Berkenaan peristiwa Ghadir selepas daripada ayat Tabligh yakni ayat : 

(يا اَيّها الرسول بلغ ما انزل اليك من ربك)
Telah turun dua ayat lain yang terdiri daripada :

1) Ayat sempurna agama

اليوم يئس الذين كفروا من دينكم فلا تخشوهم و اخشون اليوم اكملت لكم دينكم و اتممت عليكم نعمتى و رضيت لكم الاسلام ديناً

Pada hari ini (Hari Ghadir) orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini (Hari Ghadir Khum) telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku-ridhai Islam itu sebagai agama bagimu (Al-Maidah, 3).

Apabila kita teliti ayat di atas ini, dapat difahami bahawa hari turun ayat tersebut merupakan suatu peristiwa yang sangat penting, yang mana ia merupakan punca musuh berputus asa daripada harapan untuk mengalahkan Islam. Sekarang, kita perlu meneliti apakah hari yang memiliki kepentingan sebegini ?

1-Adakah Hari Pembukaan Kota Makkah mempunyai ciri-ciri ini? Adalah jelas tidak, ini adalah kerana pada hari tersebut, perjanjian-perjanjian orang Islam dengan musyrikin masih menunjukkan kekuatan musyrikin dan ibadah haji masih dilakukan seperti pada zaman jahiliyah, dan sebahagian daripada hukum-hukum Islam turun selepas peristiwa tersebut. Di sini, orang kafir masih belum berputus asa, agama juga masih belum sempurna dari segi penyampaian furu’ dan hukum-hukum asasi.

2-Adakah hari pengumuman baraat (kebenciaan) terhadap musyrikin dapat menjadi hari penting tersebut, dengan menggambarkan bahawa pada hari ini musyrikin berputus asa dan tidak lagi mempunyai harapan? Sekali lagi tidak, kerana penyampaian agama dari segi hukum-hukum masih belum sempurna pada hari tersebut seperti berkenaan sebahagian daripada hudud, qisas dan hukum-hukum berkenaan kalalah (saudara sebapa atau saudara seibu sebapa) yang turun selepas peristiwa ini. Oleh itu, putus asa sahaja bukanlah penunjuk hari tersebut, bahkan putus asa perlu seiring dengan penyempurnaan agama; dan hari pengumuman baraat ini tidak memiliki kedua-dua ciri ini.

Sekarang kita hendaklah melihat apakah hari yang memiliki kedua-dua perkara berharga ini?

Sebahagian berpendapat bahawa hari tersebut, adalah hari Arafah tahun sepuluh Hijrah yang mana didalam sejarah terkenal dengan Hujjatul Wida’ tetapi dengan merujuk kepada peristiwa sejarah, hari ini tidak memiliki dua perkara tersebut.

Namun berputus asa dan tidak lagi memiliki harapan boleh diterangkan kepada dua bentuk :

1) Kafir Quraish dan musyrikin yang berada di semenanjung Arab telah berputus asa sebelum peristiwa ini lagi (Hujjatul Wida’), Quraish pada hari pembukaan kota Makkah dan musyrikin pada hari pengumuman baraat, telah berputus asa sepenuhnya untuk mengalahkan Islam, maka dalam keadaan ini, tidak benar untuk kita mengatakan musyrikin berputus asa pada hari Arafah tahun sepuluh Hijrah (Hujjatul Wida’) dalam keadaan yang mana perkara ini telah berlaku lebih setahun sebelumnya.

2)Semua orang musyrik (seluruhnya) masih belum berputus asa sehinggalah hari tersebut.

Disini, masalah penyempurnaan agama, jika agama bermaksud hukum-hukum dan furu’ Ad-Din, maka pada hari Arafah semua hukum belum sempurna bahkan asas hukum-hukum yang berkaitan dengan (Riba, warisan dan kalalah) selepas hari Arafah diturunkan. 

Maka, satu-satunya hari yang memiliki ciri-ciri kedua-duanya adalah hari Ghadir yang mana penentuan pengganti bukan sahaja memutuskan harapan musuh malah menyempurnakan juga agama Tuhan. Sebenarnya, maksud putus asa disini adalah putus asa yang dimiliki disebabkan penyempurnaan agama. Dan maksud penyempurnaan agama adalah penyempurnaan rukun-rukun dan pengukuh agama itu, bukan penerangan furu’ dan bahagian-bahagiannya.

Putus Asa Musuh dan Penyempurnaan Agama

1) Penentuan pengganti dan punca putus asa

Hari yang mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih secara rasmi menentukan penggantinya merupakan hari orang kafir berputus asa dan harapan untuk melihat kemusnahan Islam kerana mereka sebelum ini membayangkan agama Islam hanya dapat berdiri dengan kewujudan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih dan dengan wafatnya Baginda Sallallahu Alaihi Wa Aalih Islam juga akan musnah dan keadaan akan kembali seperti dahulu (zaman jahiliyah), namun ketika mereka melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih telah menentukan seorang yang berkemampuan (dari segi ilmu pengetahuan, keadilan dan saksama, kekuatan dan ketegasan yang tidak ada tandingan) untuk kepimpinan dan ummat Islam telah membaiatnya, maka mereka pun berputus asa dari melihat kejatuhan Islam. Dan sepenuhnya putus harapan apabila melihat Islam tumbuh dengan sebuah agama yang mempunyai asas kukuh, yang tidak akan goyah.

Ayat Quran memberi saksi bahawa orang kafir menginginkan ummat Islam meninggalkan agama mereka dan kembali kepada agama nenek moyang mereka yang terdahulu seperti mana Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Quran berfirman :

ود كثير من اهل الكتاب لويردونكم من بعد ايمانكم كفاراً

Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman (Baqarah,109).

Tetapi kemajuan pantas Islam di semenanjung Arab dan kejatuhan pemerintahan syirik di Makkah telah menghancurkan harapan mereka namun satu-satu harapan yang dibayangkan oleh mereka adalah oleh kerana pembawa agama baru(Islam), tidak memiliki anak untuk mengambil alih kepimpinan dan pemerintahan Islam yang masih baru selepas kewafatan Baginda Sallallahu Alaihi Wa Aalih, daripada ini, asas pemerintahan Islam akan musnah selepas pemergian Rasul dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk mereka mengalahkan Islam dan keadaan akan kembali seperti dahulu.

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran berkenaan perkara ini :

اَمْ يَقُولُونَ شاعِرٌ نَتَرّبصُ به رَيْبَ المَنُون

Bahkan mereka mengatakan: "Dia adalah seorang penyair yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya (Thuur, 30).

Ia merupakan pelan terakhir yang diharapkan oleh mereka, tetapi satu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih telah menentukan wasinya dan pemimpin muslimin selepasnya, hari itu merupakan hari yang mana malam melabuhkan bayangnya menghadirkan ketakutan dan menghancurkan harapan dalam hidup mereka.

2) Penyempurnaan Agama

Jika hari itu harapan musyrikin musnah dengan pemilihan khalifah dan penentuan pengganti, maka agama Islam juga akan turut sempurna, dan maksud (penyempurnaan agama) didalam ayat, bukanlah penerangan tentang furu’ agama dan hukum-hukum fekah untuk ummat Islam, bahkan sempurnanya agama adalah apabila sebuah agama itu dapat kekal, mempunyai asas yang kukuh ataupun dengan penentuan pemimpin yang akan menjalankan dan mengukuhkan benteng-benteng dan penyebab kekalnya agama tersebut. Oleh itu, dengan mengambil makna ini, kedua-dua ayat sesuai dan berkaitan antara satu sama lain. Dan hari yang merealisasikan dua perkara ini akan ditentukan.

Bersambung 

Hauzah Ar Ridha (as) Kuala Lumpur Malaysia




Tidak ada komentar:

Posting Komentar